Gol!!!

Pertandingan bola sepak sekolah-sekolah peringkat daerah bermula pagi tadi. Aku yang ditugaskan sebagai pengurus mengiringi pemain-pemain bawah 15 dan bawah 18 bersama dengan tiga rakan guru lain. 18 orang ahli Pasukan bawah 18 tahun bertolak dahulu dari sekolah dengan menaiki sebuah van. Sedangkan 12 orang boleh muat dalam satu Satria!

Venue perlawanan ditetapkan di SMKS yang kedudukannya melewati kawasan perindustrian berhabuk dan berlori hapak. Kami berkonvoi menyusur jalan menuju ke Terengganu dan keluar ke kiri di sebuah loji JKR. SMKS dan adiknya SKS tersergam seperti raksasa bersaudara di apit bukit-bukau , barisan kelapa sawit dan loji.

Perlawanan pertama pagi tersebut adalah di antara kami dengan SMKSL. Pemain-pemain menunjukkan persembahan yang mengejutkan dan tidak diduga sangat menghiburkan. Shakur, pemain Jersi 16 menjaringkan gol pertama. Ini disusuli oleh gol pihak lawan di babak-babak akhir perlawanan menjadikan keputusan seri satu sama.

Keadaan genting seketika sekitar 15 minit perlawanan pertama itu berakhir apabila Sobe, pemain tingkatan 6 dicabar oleh salah seorang pemain dari SMKBG. Sedikit pertelingkahan verbal berlaku tetapi ternyata permain SMKBG itu bukan tandingan bagi Sobe yang besar dan berjambang : “Ada ke dia buat aku macam budak-budak. Dia tak kenal siapa aku,” di antara keluhan jantannya di samping ayat-ayat hero Melayu yang lain. Ini ditambah pula oleh lagaan dan provokasi oleh para pelakon tambahan dari kedua belah pihak.

Setelah diugut oleh Haji H yang mengancam untuk menggugurkannya dari kesebelasan utama pada perlawanan seterusnya, Sobe duduk, menyejukkan hatinya dengan peti Coleman yang berisi air minuman sejuk, buai lai kuning manis dan roti krim, semunya tajaan sekolah kami yang kaya raya. Di situ mereka duduk, pemain-pemain di bawah matahari yang semakin terik bersama senyum tawa usia muda yang tidak akan pernah puas berlibur.

Perlawanan kedua adalah di antara SMKS (tuan rumah) dengan SMKBG. Selepas pertelingkahan terdahulu, tidak hairanlah pasukan kami menjadi penyokong fanatik SMKS. Lebih menyeronokkan kerana SMKBG menunjukkan permainan yang kucar-kacir dan mampu menjadi bahan jenaka yang cukup poten untuk kami gelakkan. Kehadiran penyokong-penyokong tuan rumah yang keluar semasa waktu rehat menghangatkan suasana yang semakin seperti pesta.

Menjelang tersiarnya pengumuman pada alat siaraya sekolah; suara seorang guru wanita yang termengah dek menahan marah : “Pelajar-pelajar di tepi padang sana, sila balik ke kelas anda…. di ulang, balik kelas, balik kelas!” ; perlawanan kedua berakhir dengan kemenangan untuk SMKS dengan skor 5-2.

Pemain-pemain SMKB yang keletihan dari perlawanan sebelumnya dibenarkan rehat 15 minit sebelum bertemu pasukan kami. Walaupun tempoh perlawanan hanya 1 jam, kepenatan jelas di wajah mereka. Nah! Ini peluang kami yang sekurangnya-kurangnya berpeluang rehat 1 jam lebih. Kami perlu sekurang-kurangnya seri untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Sekali lagi satu perlawanan yang mendebarkan. Azmir, pelajar yatim piatu yang terkeluar dari perlawanan awal akibat kecederaan kembali bermain di bahagian pertahanan apabila keputusan terus seri 0-0 selepas bermulanya separuh masa kedua. Sebentar kemudian seorang pemain kami dikasari terus diberi tendangan percuma oleh pengadil. Tendangan di ambil oleh Shakur yang melepaskannya dengan cantik dari sayap kanan padang. Bola diterima dan dijaringkan oleh Amirul atau Meegho disusuli sorakan kami di tepi.

Ini bola sepak grass roots. Akar umbi yang akan memokok. Harapan bagi Sobe, Azmir, Syakur dan Meegho untuk bermain di peringkat nasional apatah lagi dalam liga-liga premier Eropah sangat tipis. Namun mereka bermain dan menikmatinya sekaligus mengingatkan aku bahawa bola sepak bukan hanya pasukan-pasukan gergasi dan penaja dan Paula Malai Ali di kaca TV.

Esok! Kami bertemu SMKS!

Leave a comment

Filed under anecdotal

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s