Terima kasih buat insan-insan mulia yang telah memuat naikkan fail-fail torrent siri-siri televisyen kegemaran aku. Barangkali pemilik harta-harta intelek dalam bentuk episod-episod Weeds, Men Behaving Badly, Black Adder, Extras dan Grey’s Anatomy (buat A) akan marah sekiranya mengetahui karya mereka dimuat turun secara percuma dengan sewenang-wenangnya oleh seorang peminat kedekut di Malaysia. Tetapi percayalah tuan-tuan dan puan-puan, hasil keringat artistik kalian agak mustahil untuk didapati secara runcit dan halal di tempat aku bermastautin. Dengan demikian, segala bantahan atau ketidak-serasian etika boleh diajukan kepada pengelola kuburan dakwat melalui ruangan komen yang disediakan.
Sedikit tentang Weeds, lakonan Mary-Louise Parker sebagai Nancy Botwin, seorang ibu suburbia dan pengedar ganja. Digarap dalam genre komedi, setiap setengah jam episod Weeds memainkan peranan utama genre tersebut (bagi aku) iaitu menyediakan suatu jalan keluar dari ketiadaan humor dalam kehidupan seharian.
Suatu trenda yang semakin jelas aku perhatikan di dalam siri-siri genre komedi mutakhir (House, Desperate Housewives, Extras) ialah intepretasi semula konsep political correctness yang menjadi di antara isu hangat di penghujung 90’s hingga kini. Dalam hal-hal seperti perhubungan keagamaan dan kebudayaan, orientasi seksual, isu-isu kelas dan darjat, kebebasan bersuara, kesetiaan kepada authoriti/negara-bangsa dan sebagainya, terdapat beberapa pantang yang seakan wajib dipatuhi di dalam keadaan-keadaan sosial tertentu.
Weeds dipenuhi oleh watak-watak yang melanggar banyak pantang-larang sosial yang disebutkan di atas. Mereka reaktionari dan tidak gentar menyuarakan pendapat. Mereka berdebat sesama sendiri tanpa segan silu dan menganggap konflik pemikiran dan idelogi adalah suatu perkara yang tidak perlu dielakkan, malah suatu komponen asas kehidupan sosial mereka. Dari perbezaan pendapat sedemikianlah lahirnya humor Weeds yang berani.
1 Comment
15 November, 2006 at 5:00 pm
hello incik…entourage pleaseeeeee…..*wink wink*